Belanjawan Pahang 2026, UnIPSAS Terima RM20 Juta Transformasi Penjenamaan Sebagai Universiti Al-Quran

KUANTAN, 5 Disember 2025 - UnIPSAS menzahirkan penghargaan atas pengumuman peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan Pahang 2026 bagi melaksanakan transformasi penjenamaan UnIPSAS sebagai Universiti Al-Quran.

Peruntukan ini diumumkan di bawah :

Teras Pertama : Memartabatkan Agama Islam, Memelihara Institusi Diraja & Mengangkat Warisan Budaya

Sejajar dengan teras ini, UnIPSAS berpeluang memperkukuh pembangunan akademik, pentadbiran, penyelidikan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan agenda Universiti Al-Quran, seterusnya memperluas peranan kami dalam memartabatkan ilmu dan memperkukuh tradisi keilmuan di negeri Pahang.

Kunjungan Hormat Profesor Dr. Sheikh Naji Bin Rashid Al-Arabi, Pensyarah Hadis Universiti Bahrain ke Pahang

KUANTAN, 4 Disember 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima kunjungan rasmi oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang.

Kunjungan ini turut disertai oleh Profesor Dr. Sheikh Naji Bin Rashid Al-Arabi, Pensyarah Hadis dari Universiti Bahrain, dalam pertemuan anjuran bersama Kerajaan Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Ketibaan tetamu disambut oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan serta menzahirkan komitmen universiti untuk terus memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama antarabangsa.

Pertemuan ini bertujuan mengukuhkan kerjasama ilmiah, membincangkan usaha pembangunan masyarakat serta memperluas inisiatif penyelidikan dan pemerkasaan ilmu di UnIPSAS.

Majlis diteruskan dengan sesi ucapan, perbincangan, penyampaian cenderamata dan sesi bergambar bersama kepimpinan universiti.

Persidangan Global Conference on Da’wah, Education and Islamic Civilization in the Muslim World (GCDEIC 2025)

KUANTAN, 27 November 2025 – Persidangan Global Conference on Da’wah, Education and Islamic Civilization in the Muslim World (GCDEIC 2025) sedang belangsung secara dalam talian melalui platform Zoom, menghimpunkan para sarjana, ahli akademik dan penyelidik dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu dakwah, pendidikan serta ketamadunan Islam dalam konteks perkembangan kecerdasan buatan.

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), yang menekankan kepentingan wacana ilmiah dan jaringan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh keilmuan Islam.

Persidangan ini turut menampilkan pembentangan utama oleh tokoh akademik terkemuka serantau. Prof. Datuk Dr. Fakhruddin bin Abdul Mukti dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei membentangkan topik The AI Revolution and the Future of Islamic Thought yang mengupas implikasi falsafah dan etika revolusi AI terhadap pemikiran Islam. Seterusnya, Prof. Dr. Kusmawati Hatta dari UIN Ar-Raniry, Banda Aceh membincangkan topik The Transformation of Islamic Da’wah in the Era of Artificial Intelligence, yang meneliti cabaran serta peluang dakwah dalam era digital. Pembentangan ketiga oleh Dr. Safiah binti Abdul Razak dari UnIPSAS pula mengulas topik Holistic Education in Islamic Thought, dengan memberi penekanan terhadap peranan pendidikan holistik dalam pembinaan ketamadunan Islam yang unggul.

Secara keseluruhannya, penganjuran GCDEIC 2025 telah memperkukuh wacana ilmiah berimpak tinggi serta memperteguh peranan institusi akademik Islam dalam mendepani perubahan global dan kemajuan teknologi semasa.

Pernah dua kali gagal, Siti Nur Khalidah tak sangka raih Anugerah Sultan Ahmad Shah

KUANTAN, 17 November 2025 - Kegagalan pada masa lalu menjadi dorongan kepada gadis berusia 23 tahun ini untuk berjaya sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Isnin.

Siti Nur Khalidah Rosli mengakui terkejut apabila menerima pengiktirafan tertinggi itu memandangkan ramai rakan lain turut memiliki pencapaian cemerlang. “Saya memang tidak sangka terpilih untuk menerima anugerah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat tersebut.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
Lebih 583 penuntut telah diraikan dalam istiadat konvensyen terbabit, yang turut dihadiri Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal, para pensyarah dan ibu bapa.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dengan Kepimpinan Pengajaran Kepujian memberitahu, perjalanan menjadi guru Bahasa Inggeris bukanlah mudah kerana pernah dua kali gagal temu duga untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Jelasnya, pengalaman itu mendorong dirinya untuk menumpukan usaha sepenuhnya dalam akademik dan kepimpinan sepanjang pengajian di universiti.

"Dalam ucapan tadi, saya kata, saya di sini bukan sebab cemerlang, tetapi kerana pernah melalui kegagalan sebelum ini.

"Itu yang membuatkan saya lebih kuat untuk mencapai impian menjadi guru Bahasa Inggeris,” katanya yang kini menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjong, Batu Pahat.

Siti Nur Khalidah yang kini melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Open University Malaysia berkata, sepanjang pengajian di UnIPSAS dia mencatat rekod akademik cemerlang termasuk Anugerah Dekan bagi setiap semester dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92.

Anak kedua daripada tiga beradik itu turut memperoleh Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 4.00 untuk empat semester berturut-turut.

Dalam bidang kepimpinan, beliau pernah dilantik sebagai Exco Insaniah Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi (FOLAFS) selama dua sesi berturut-turut dan merupakan ahli aktif Kelab Aspirasi Suara (VAC).

Beliau juga terlibat dalam pelbagai program termasuk English Week, Lawatan Akademik ke Amani Vanilla, Product Proposal & Cultural Exhibition, serta membantu menguruskan FOLAFSSA Day, pertandingan syarahan, program kebajikan dan teater universiti.

Kredit : Norawazni Yusof (Sinar Harian)

Ekspedisi Kepimpinan Global MPP UnIPSAS 2025 Perkukuh Jaringan Antarabangsa

KUANTAN, 12 November 2025 – Seramai 16 orang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) berlepas ke Surabaya, Indonesia bagi menyertai Ekspedisi Kepimpinan Global MPP UnIPSAS 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 18 November 2025 di Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel.

Program ini dianjurkan bagi memperkasa potensi kepimpinan pelajar serta memperkukuh jaringan antarabangsa antara UnIPSAS dan UIN Sunan Ampel melalui penglibatan akademik dan aktiviti pertukaran budaya.

Turut mengiringi kumpulan peserta ialah En. Mohd Fikri bin Mohd Mokhtar dan Pn. Siti Najihah binti Mahd Zahari selaku pensyarah pengiring yang turut memainkan peranan penting dalam membimbing peserta sepanjang program.

Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap penganjuran program seumpama ini yang disifatkan sebagai platform penting dalam membentuk kepimpinan pelajar berjiwa global dan berintegriti.

Ekspedisi ini menjadi bukti komitmen UnIPSAS dalam melahirkan mahasiswa berwawasan global serta memperkukuh hubungan strategik antara UnIPSAS dan UIN Sunan Ampel di pentas antarabangsa.

MUIP Plantations Wakaf Skrin Paparan LED Berteknologi Tinggi untuk Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS

KUANTAN, 31 OKTOBER 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) hari ini melakar sejarah apabila menerima sumbangan wakaf Skrin Paparan LED (LED Screen Display) berteknologi tinggi daripada MUIP Plantations Sdn. Bhd. Majlis penyerahan yang diadakan di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS ini menggariskan komitmen MUIP Plantations dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memajukan infrastruktur pendidikan melalui amalan wakaf.

Pengukuhan Prasarana Digital

Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS kini dilengkapi dengan aset baharu iaitu Skrin Paparan LED berteknologi tinggi menerusi sumbangan wakaf ini. Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah MUIP Plantation Sdn Bhd, YH Dato’ Sri Md Sharif Bin Shamsuddin, dan diterima oleh YBrs Dr. Asmadi Bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal dan Operasi MUIP. Penyerahan ini disaksikan oleh Naib Canselor UnIPSAS, YH. Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, serta dif-dif kehormat.

YH Dato’ Sri Md Sharif Bin Shamsuddin dalam ucapan beliau menzahirkan:

"Kami bersyukur kerana berpeluang mewakafkan Skrin LED berteknologi tinggi ini kepada UnIPSAS. Saya lihat UnIPSAS terus berkembang maju, bermula dari zaman KIPSAS kini telah menjadi Universiti. Diharapkan manfaat daripada skrin teknologi terkini ini dapat dirasai oleh mahasiswa, peserta majlis ilmu, dan sesiapa sahaja yang hadir ke Auditorium ini," kata beliau.

Kolaborasi Kepimpinan Strategik

Majlis yang berlangsung dalam suasana harmoni ini turut disaksikan oleh kepimpinan tertinggi lain, termasuk YBhg. En. Rizal Bin Ahmad (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MUIP Holding), YBrs. Dr. Haji Azmi Bin Othman (Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Pahang), dan YBrs. Dr. Mohd Syakir Bin Dato’ Hj. Mohd Taib (Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang). Turut hadir adalah Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan semua Pengurusan Kanan UnIPSAS.

Kehadiran kakitangan MUIP Plantations Sdn Bhd, anggota kerja, serta pelajar UnIPSAS membuktikan semangat kekeluargaan dan sokongan padu. Sumbangan ini mengukuhkan kerjasama strategik antara UnIPSAS dan MUIP dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang cemerlang di Negeri Pahang Darul Makmur.

Jejak Budaya Islam Borneo-Indonesia Kukuhkan Hubungan UnIPSAS Dan UIN Jambi

Jambi, Indonesia – 12 hingga 16 Oktober 2025: Seramai 21 orang mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) bersama seorang pengiring telah menyertai Program Jejak Budaya Islam Borneo–Indonesia yang berlangsung di Universitas Islam Negeri (UIN) Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, Indonesia.

Program ini merupakan hasil anjuran bersama Sekretariat Mahasiswa Borneo UnIPSAS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia UIN Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, dengan matlamat memperkukuh jalinan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembelajaran serta pemeliharaan budaya Islam Nusantara.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Ayub Mursalin, M.A, Vice Rector for Academic and Institutional Affairs, UIN Sulthan Thaha Saifuddin Jambi.

Turut sama hadir sepanjang program ialah pegawai pengiring dari UnIPSAS, YBhg. Encik Muhd Ilham Bin Ciding, yang turut memberikan sokongan dan bimbingan kepada para peserta sepanjang aktiviti berlangsung.

Sepanjang lima hari program, para peserta didedahkan kepada konsep Islam Nusantara yang berkembang di Indonesia serta kesannya terhadap masyarakat Islam di Sabah dan Borneo secara umum. Aktiviti berbentuk akademik, budaya dan khidmat komuniti turut diadakan bagi memperkukuh kefahaman serta jaringan ukhuwah antara kedua-dua institusi.

Menurut wakil Sekretariat Mahasiswa Borneo, program ini bukan sahaja membuka ruang kolaborasi antara dua universiti Islam serantau, malah memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan adaptasi budaya dalam suasana antarabangsa.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UnIPSAS turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong penglibatan mahasiswa dalam aktiviti luar negara yang memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan kecemerlangan akademik.

Ambassadorial Talk Bersama Duta Besar UAE di UnIPSAS

KUANTAN, 8 Oktober 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima kunjungan rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri, Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, sempena Program Ambassadorial Talk bertajuk “Tolerance & Coexistence and the Role of the Youth in Multicultural Societies.”

Dalam sesi penuh inspirasi itu, TYT Dr. Mubarak berkongsi pandangan tentang kepentingan toleransi, keamanan dan perpaduan antara budaya, berasaskan semangat Piagam Madinah, model toleransi UAE serta Dokumen Persaudaraan Sejagat (Human Fraternity Document). Beliau menyeru agar generasi muda menjadi ejen perpaduan dalam membina dunia yang lebih harmoni dan saling menghormati.

Naib Canselor UnIPSAS, YH Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas tajaan biasiswa penuh kepada pelajar UnIPSAS yang kini menyertai Program Mobiliti Berkredit selama empat bulan di Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH), Abu Dhabi.

Beliau turut berkongsi bahawa UnIPSAS akan menghantar pelajar lepasan diploma ke Abu Dhabi pada tahun 2026 bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH), dengan tajaan penuh daripada kerajaan UAE.

Turut hadir, YB Dato’ Ahmad Irsyadi bin Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang merangkap Timbalan Portfolio Belia dan NGO, serta wakil-wakil daripada pelbagai jabatan kerajaan, para guru, pelajar Tingkatan Enam, pelajar sekolah dan pelajar universiti.

Sesi ini turut disertai kira-kira 500 orang hadirin yang hadir bagi mengikuti perkongsian dan sesi interaksi bersama TYT Duta Besar UAE.

Karya Pelajar Multimedia (Pengiklanan Digital) UnIPSAS Memukau Pengunjung

KUANTAN, 6 Oktober 2025 – Suasana meriah mewarnai Vision Showcase Final Exhibition 2025 di Dewan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), yang menampilkan karya pelajar Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Pengiklanan Digital) dengan Kepujian.

Bertemakan “𝘞𝘩𝘦𝘳𝘦 𝘊𝘳𝘦𝘢𝘵𝘪𝘷𝘪𝘵𝘺 𝘔𝘦𝘦𝘵𝘴 𝘝𝘪𝘴𝘪𝘰𝘯”, pameran ini mempamerkan hasil reka bentuk digital, video pengiklanan dan projek interaktif yang mencerminkan kreativiti serta inovasi pelajar.

Majlis ini dirasmikan oleh YB Dato’ Ahmad Irsyadi bin Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang merangkap Timbalan Portfolio Belia dan Persatuan NGO, turut serta Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, bersama warga universiti yang hadir memberi sokongan.

Program turut dimeriahkan dengan sesi pemarkahan yang melibatkan Puan Shahrina binti Zainuddin, Senior Lecturer, Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills), dan Puan Nadia binti Mohd Rustham, Marketing Director, Sera Group, selaku panel pemarkahan.

PIRCU'25 Perkukuhkan Budaya Inovasi dan Reka Cipta Dalam Masyarakat

KUANTAN, 30 September 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menganjurkan Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta UnIPSAS (PIRCU’25) bertempat di Dewan Sultan Ahmad Shah, UnIPSAS. Pertandingan ini merupakan satu inisiatif signifikan yang selari dengan aspirasi Negeri Pahang dalam memperkukuh budaya inovasi dan penyelidikan dalam kalangan masyarakat.

PIRCU’25 telah berlangsung dengan meriah, melibatkan penyertaan 26 kumpulan inovasi serta 10 kumpulan poster penyelidikan. Para peserta menampilkan pelbagai idea baharu serta hasil penyelidikan yang kreatif dan berimpak tinggi, mencerminkan keupayaan peserta dalam menjana pengetahuan dan penyelesaian inovatif.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, DSAP., Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan sokongan terhadap usaha UnIPSAS memperkukuh budaya penyelidikan dan penciptaan ilmu dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau:
“Saya yakin bahawa hasil inovasi yang dipamerkan pada hari ini mampu memperkukuh reputasi UnIPSAS sebagai pusat kecemerlangan ilmu, serta memberikan impak besar kepada masyarakat.”

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas komitmen, semangat inovatif dan usaha gigih yang ditunjukkan. PIRCU’25 terus menjadi platform penting dalam menyemai budaya inovasi dan penyelidikan dalam kalangan warga UnIPSAS dan penyelidik demi kesejahteraan ummah.

Kredit : Media UnIPSAS & Pahang Media
Shammil Shabri , Ain Nadhirah Basha & Ezzatul Syafiqa Asmawai

ms_MYMalay