UNIQSAAS Jayakan Ibadah Korban 1447H, Perkukuh Ukhuwah dan Keprihatinan Ummah

KUANTAN, 30 Mei 2026 – Program Ibadah Korban 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi anjuran Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (TMTHIAS), Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh semangat gotong-royong, kesyukuran dan penghayatan nilai pengorbanan sempena Aidiladha hari ini.

Pada tahun ini, sebanyak 13 ekor haiwan korban yang terdiri daripada 3 ekor lembu dan 10 ekor kerbau telah disempurnakan dengan anggaran hasil mencecah 1.5 tan daging korban. Daripada jumlah tersebut, seekor lembu merupakan sumbangan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, manakala seekor kerbau merupakan sumbangan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) sebagai tanda sokongan terhadap usaha menghidupkan syiar Islam dan amalan kebajikan dalam masyarakat.

Yang Hormat Dato’ Naib Canselor UNIQSAAS dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini, khususnya Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Yayasan KOSMA, Maybank Islamic, Gading Group dan Bank Rakyat atas sumbangan serta kerjasama yang diberikan.

Beliau turut menegaskan bahawa ibadah korban bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, malah menjadi medium penting dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat. Dalam majlis yang sama, Yayasan KOSMA turut menyampaikan sumbangan berupa sebuah mesin pemotong tulang kepada pihak Masjid TMTHIAS sebagai tanda sokongan terhadap kelancaran operasi pengurusan ibadah korban.

Kesemua daging korban yang telah siap diproses dan dibungkus telah diagihkan kepada peserta korban, anggota kerja UNIQSAAS, golongan asnaf serta komuniti yang hadir, agar manfaat ibadah korban dapat dirasai dan dikongsi bersama oleh mereka yang berhak serta memerlukan.

Turut hadir memeriahkan program ialah YB. Dato’ Ahmad Irshadi bin Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang, yang turut bersama-sama membantu melaksanakan kerja-kerja ibadah korban di lapangan serta menyantuni para peserta dan sukarelawan yang terlibat.

Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan Masjid TMTHIAS dan UNIQSAAS dalam mengimarahkan syiar Islam, memperkukuhkan ukhuwah serta memupuk nilai pengorbanan dan kebajikan demi kesejahteraan ummah.

UNIQSAAS Uji Kekuatan Pasukan Di Kejohanan Bola Sepak MASISWA 2026

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2026 – Pasukan bola sepak Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang, UNIQSAAS terus memperkukuhkan persiapan pasukan apabila menyertai Kejohanan Bola Sepak MASISWA 2026 yang berlangsung dari 13 hingga 17 Mei 2026 di Padang ILSAS dan Stadium UNITEN.

Kejohanan anjuran Majlis Sukan IPTS Malaysia itu menghimpunkan penyertaan daripada 14 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh Malaysia dan telah dirasmikan oleh Presiden MASISWA.

Pasukan UNIQSAAS terdiri daripada 22 pemain dan 2 pegawai serta dipimpin oleh bekas pemain bola sepak Pahang, Shahrizan Salleh selaku Ketua Jurulatih bersama-sama barisan kejurulatihan pasukan dalam membawa cabaran universiti pada kejohanan berprestij tersebut.

Penyertaan UNIQSAAS dalam kejohanan ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan prestasi pasukan, malah menjadi medan terbaik untuk menguji kemampuan serta keserasian barisan pemain baharu sebelum menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang.

Kejohanan ini juga menjadi sebahagian daripada persediaan awal pasukan bagi menghadapi Kejohanan Sukan IPT Islam Malaysia (SUPTIM) yang dijadual berlangsung pada Julai 2026 sebelum meneruskan cabaran dalam saingan Liga IPT Divisyen 3 2026 pada bulan Ogos nanti.

Untuk rekod, UNIQSAAS telahpun melayakkan diri ke Liga IPT Divisyen 3 sejak tahun 2025 dan turut mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul sebagai naib johan Kejohanan Bola Sepak MASISWA 2025.

Dalam memastikan kebajikan serta pembangunan sukan pelajar terus diberi perhatian, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UNIQSAAS turut memberikan sokongan padu kepada pasukan sepanjang kejohanan berlangsung.

Semangat juang tinggi serta komitmen yang dipamerkan oleh seluruh pemain dan pegawai pasukan sepanjang kejohanan mencerminkan kesungguhan UNIQSAAS dalam terus mengangkat nama universiti di pentas sukan IPT negara.

Seminar Celik Kewangan Islam, Pengurusan Risiko Kewangan Merentas Generasi

Kuantan, 9 Mei 2026 – Pelajar program Sarjana Kewangan Islam (MIF), Kuliyyah Pengurusan dan Informatik (KMI) telah berjaya menganjurkan Seminar Celik Kewangan Islam: Membentuk Budaya Pengurusan Harta Pusaka Merentas Generasi yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Perkim, Bangunan PERKIM, cawangan Ktn.

Penganjuran seminar ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan kewangan Islam serta perancangan harta pusaka yang sistematik, berhemah dan mematuhi prinsip syariah. Program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu kepada peserta berkaitan kepentingan perancangan kewangan dalam menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat pada masa hadapan.

Seminar ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada para peserta yang terdiri daripada golongan mualaf dan saudara baharu serta masyarakat setempat. Pelbagai pengisian ilmiah telah diketengahkan sepanjang program berlangsung melalui sesi ceramah dan perkongsian oleh pelajar Sarjana Kewangan Islam Semester 4 dalam bidang kewangan Islam dan pengurusan pusaka.

Program ini merupakan hasil inisiatif dan komitmen pelajar Sarjana dalam menjayakan aktiviti akademik dan kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada rakan kolaborasi iaitu Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), PERKIM Kuantan serta Kelab Belia Muafakat Islam atas sokongan Dari bentuk Kewangan, kerjasama dan penglibatan yang diberikan dalam menjayakan seminar ini.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam memperkasakan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan kewangan Islam dan pengurusan harta pusaka yang lebih efektif demi kesejahteraan ummah disamping memperkenalkan UnIPSAS yg kini dikenali sebagai Universiti Al Quran Al sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang. (UNIQSAAS).

Majlis Penyerahan Wakalah Zakat Kepada Pelajar UNIQSAAS

KUANTAN, 07 Mei 2026 - Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) telah mengadakan Majlis Penyerahan Wakalah Zakat kepada pelajar UNIQSAAS bertempat di Dewan Barakah pada hari ini.

Seramai 23 orang penerima yang terdiri daripada pelajar Asasi Sains Kemanusiaan berstatus asnaf dan B40 telah menerima sumbangan wakalah zakat hasil sumbangan individu persendirian. Setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM200 bagi membantu meringankan beban kewangan serta kebajikan pelajar.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UNIQSAAS.

Dalam amanat beliau, YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Effat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar. Beliau turut berpesan agar para penerima menggunakan wang zakat yang diterima dengan sebaiknya untuk keperluan pembelajaran dan perkara-perkara yang bermanfaat serta mengelakkan pembaziran.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Pejabat HEPA sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak atau masyarakat yang ingin menyumbang kepada pelajar melalui saluran yang betul dan teratur demi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara.

Pejabat HEPA juga komited dalam memastikan aspek kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian khususnya kepada pelajar yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih selesa, sempurna dan cemerlang.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah YBhg. Ustazah Nur Afiqah Foo binti Muhammad Furqan Foo, Pegawai Tadbir Tarbiyyah & Disiplin HEPA serta Encik Khairul Rijal bin Dato’ Haji Abdu Rahman.

UNIQSAAS meterai LoI bersama Universiti Wasatiyyah Yaman, perkukuh kerjasama pendidikan Islam Antarabangsa

KUANTAN, 06 Mei 2026 - Majlis Menandatangani Letter of Intent (LoI) antara Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang dan Universiti Al-Wasatiyyah Tarim Yaman telah berlangsung dengan jayanya di Wisma Sri Pahang.

LoI ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan akademik serta kerjasama pendidikan Islam antara kedua-dua institusi. Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik pada masa hadapan.

Antara fokus utama LoI tersebut ialah membuka laluan kepada pelajar Malaysia dan juga Yaman untuk menyambung pengajian di UNIQSAAS, melaksanakan program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, serta memanfaatkan kepakaran Yaman dalam bidang pengajian agama dan Al-Quran. Usaha ini sekali gus dapat memperkasakan peranan UNIQSAAS sebagai institusi pendidikan Islam yang unggul.

Kerjasama ini diyakini mampu memberi impak positif kepada pembangunan modal insan, khususnya dalam melahirkan generasi ilmuwan Islam yang berilmu, berakhlak serta berupaya menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.

Diharapkan hubungan yang terjalin ini akan terus diperkukuh demi memartabatkan pendidikan Islam di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadikan Negeri Pahang sebagai hab pendidikan Islam yang dihormati dan disegani.

UNIQSAAS Kunjungan Hormat ke Kepulauan Riau, Indonesia

KEPULAUAN RIAU, 11 April 2026 – Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kepulauan Riau, Indonesia dari 9 hingga 11 April 2026 sebagai usaha memperkukuh jaringan akademik, memperluas hubungan strategik serantau serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang pendidikan, warisan keilmuan Islam dan peradaban Melayu.

Kunjungan ini turut membawa signifikan tersendiri apabila dilaksanakan dalam fasa awal penjenamaan semula universiti susulan pengisytiharan rasmi nama Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) pada 6 Mac 2026. Selaras dengan identiti baharu universiti, UNIQSAAS membawa aspirasi Hudan Linnas, iaitu menjadikan al-Quran sebagai teras utama dalam semua bidang ilmu dan pembangunan insan, merangkumi aspek akidah, kepimpinan serta pembangunan tamadun. Lawatan ini sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam memperkenalkan identiti baharu tersebut di peringkat serantau.

Delegasi UNIQSAAS telah diketuai oleh Naib Canselor UNIQSAAS, YH. Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Turut menganggotai delegasi ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmat Effat bin Mokhtar, Pendaftar, Haji Mohd Faizul bin Abdul Hadi Nor, serta wakil Jabatan Perhubungan Korporat, En. Mohd Safuan bin Arifin, En. Mazlan Bin Sulaiman.

Pada hari pertama, delegasi UNIQSAAS telah mengadakan kunjungan ke Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Sultan Abdurrahman Kepulauan Riau (STAIN Kepri) dan disambut oleh Ketua STAIN Kepri, Dr. H. Muhammad Faisal. Kunjungan tersebut memperkukuh kolaborasi strategik antara UNIQSAAS dan STAIN Kepri yang dijangka membuka ruang kerjasama lebih tersusun dan berfokus, khususnya dalam bidang akademik, pertukaran kepakaran, mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama serta penganjuran program ilmiah di peringkat antarabangsa.

Delegasi UNIQSAAS seterusnya telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Gabenor Kepulauan Riau dan disambut oleh Asisten Administrasi Umum (Asisten III) Setiausaha Daerah Provinsi Kepulauan Riau, Ibu Misni, S.KM., M.Si. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Kepala Dinas Kebudayaan Provinsi Kepulauan Riau, Herry Andrianto, S.E., M.M., serta Kepala Biro Administrasi Pimpinan, Dody Sepka Noviandy, S.STP., M.M. Sesi tersebut memperlihatkan keterbukaan dan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dengan kepimpinan wilayah, di samping membina persefahaman yang lebih erat ke arah pelaksanaan kerjasama yang berimpak pada masa hadapan.

Pada sebelah malam hari pertama, delegasi UNIQSAAS sempat bertemu dengan sejarawan Kepulauan Riau dalam satu sesi makan malam yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan bermakna. Pertemuan tersebut menjadi ruang perbincangan ilmiah yang bernilai, khususnya berkaitan warisan intelektual, tradisi keilmuan serta sumbangan ilmu dalam pembinaan tamadun serantau.

Dalam rangka lawatan tersebut, delegasi UNIQSAAS turut berpeluang menelusuri khazanah warisan intelektual di Pulau Penyengat, yang terkenal sebagai pusat perkembangan kebudayaan Melayu. Pengalaman ini memberi nilai tambah yang besar kepada delegasi universiti dalam memahami lebih dekat warisan manuskrip peninggalan Kerajaan Riau-Lingga yang masih terpelihara dengan baik sehingga kini. Delegasi juga berpeluang menyaksikan mushaf tulisan tangan yang berusia lebih 100 tahun, di samping meninjau khazanah ilmu yang tidak ternilai.

Dalam pengisian hari kedua, delegasi UNIQSAAS telah mengadakan lawatan ke Balai Maklumat Yayasan Kebudayaan Inderasakti dan disambut oleh ketuanya, YM. Raja Malik Hafrizal Bin YM. Raja Hamzah. Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengenalan lebih dekat terhadap khazanah intelektual dan kebudayaan Melayu-Islam di Kepulauan Riau, malah turut memperkukuh jaringan kolaborasi strategik dalam aspek pengkajian, dokumentasi, pemeliharaan dan pendigitalan manuskrip serta karya ulama Nusantara.

Dalam sesi berkenaan, Yayasan Kebudayaan Inderasakti turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada Naib Canselor UNIQSAAS, YH. Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen universiti dalam memperkasa usaha pengkajian, pendokumentasian dan pemuliharaan manuskrip Jawi serta warisan intelektual Melayu-Islam.

Antara pengisian utama lawatan tersebut ialah pendedahan kepada khazanah manuskrip Jawi, atau lebih dikenali di Indonesia sebagai tulisan Arab-Melayu (ArMel), yang amat bernilai sebagai warisan ilmu dan tamadun Melayu-Islam. Manuskrip-manuskrip ini merakamkan tradisi keilmuan dan pemikiran cendekiawan Nusantara, termasuk karya agung seperti Gurindam Dua Belas oleh Raja Ali Haji bin Raja Ahmad, yang mencerminkan kekayaan adab dan bahasa. Pendedahan ini amat bermakna dalam memperkukuh kesedaran tentang pentingnya usaha pemeliharaan serta pemerkasaan khazanah Jawi sebagai sebahagian daripada warisan intelektual serumpun.

Sebagai sebahagian daripada pengukuhan hubungan dua hala, delegasi UNIQSAAS turut diraikan dalam majlis makan malam bersama Gabenor Kepulauan Riau, H. Ansar Ahmad. Dalam pertemuan tersebut, Gabenor H. Ansar menyambut baik gagasan kerjasama yang dikemukakan dan menegaskan bahawa kolaborasi rentas negara dalam bidang kebudayaan dan pendidikan merupakan langkah strategik bagi memastikan warisan Melayu terus lestari, relevan dan diperkasakan untuk generasi masa hadapan.

Lawatan ini turut membuka ruang yang lebih luas kepada agenda pengantarabangsaan UNIQSAAS, termasuk potensi memperkenalkan universiti kepada masyarakat serantau dan mengalu-alukan pelajar dari Kepulauan Riau untuk melanjutkan pengajian di UNIQSAAS. Pendekatan ini selaras dengan hasrat universiti untuk terus memperkukuh jaringan pendidikan tinggi Islam merentas sempadan serta memperluas peranan UNIQSAAS sebagai pusat rujukan ilmu berteraskan Al-Quran di rantau ini.

Secara keseluruhannya, kunjungan hormat ini menjadi manifestasi kesungguhan UNIQSAAS dalam memperluas jaringan antarabangsa dan memperkukuh peranannya sebagai institusi yang membawa aspirasi Hudan Linnas. Lawatan ini juga selari dengan aspirasi penjenamaan baharu universiti untuk menampilkan UNIQSAAS sebagai institusi yang unggul, progresif dan berwibawa dalam memacu agenda pendidikan Islam, pengantarabangsaan ilmu serta pelestarian warisan peradaban Melayu di peringkat nasional dan serantau.

UnIPSAS Kini Dikenali Sebagai UNIQSAAS, Universiti Al-Quran Pertama di Malaysia

KUANTAN, 06 Mac 2026 — Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) kini secara rasmi dikenali sebagai Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UnIQSAAS).

Pengisytiharan penjenamaan semula ini diperkenankan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sekali gus menjadikannya universiti Al-Quran pertama di Malaysia.

Pengumuman bersejarah tersebut berlangsung pada 6 Mac 2026 di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, bersempena malam Nuzul al-Quran, tarikh istimewa bagi umat Islam memperingati peristiwa penurunan ayat pertama Al-Quran.

Pada majlis ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan menerima warkah perisytiharan nama UnIPSAS kepada Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang daripada Menteri Pengajian Tinggi, YB. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry dan Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyerahkan warkah berkenaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Pemilihan tarikh tersebut amat signifikan kerana selari dengan aspirasi universiti untuk menjadikan Al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu dan pembinaan tamadun. Lebih bermakna lagi, pengumuman ini turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun perkahwinan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.

Penjenamaan semula ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan institusi ini sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berteraskan Al-Quran dan pendidikan Islam.

Program Ramadan Madani YAPEIM Peringkat Negeri Pahang Dimeriahkan Dengan Majlis Khatam Al-Quran UnIPSAS

KUANTAN, 5 Mac 2026 – Program Ramadan Madani YAPEIM 2026/1447H Peringkat Negeri Pahang telah berlangsung dengan meriah menerusi penganjuran Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) ini bertujuan menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan melalui pembudayaan bacaan al-Quran serta mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

Delegasi Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) diketuai oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, bersama barisan pengurusan serta warga universiti yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut.

Majlis turut menampilkan ceramah Ramadan yang disampaikan oleh PU Mohamad Faris bin Abu Bakar, selain ucapan aluan oleh Ketua Pengarah YAPEIM, YBrs. Tuan Haji Zabidi bin Nasan.

Program ini turut disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YB Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd.

Antara pengisian majlis termasuk Majlis Khatam al-Quran, bacaan doa, persembahan bacaan al-Quran, simbolik penyerahan sumbangan kepada pelajar serta penyampaian cenderamata, sebelum diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah.

Penyertaan warga UnIPSAS dalam program ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong program kerohanian serta memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

FDK UIN Ar-Raniry, UnIPSAS & UNISSA Sukses Laksanakan PKM Kolaborasi Internasional

ACEH INDONESIA, 16 Februari 2026 – Kolaborasi antarabangsa melibatkan Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berjaya dilaksanakan menerusi Program Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) Tematik Kebencanaan Kolaborasi Dosen dan Mahasiswa pada 9–15 Februari 2026 di Gampong Masjid Tuha, Meureudu, Pidie Jaya, Aceh.

Program kemanusiaan ini merupakan kerjasama tiga buah universiti dari tiga negara — Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam — bagi membantu masyarakat yang terjejas akibat bencana hidrometeorologi yang melanda Aceh pada penghujung November 2025. Misi ini menzahirkan kepedulian sosial dan solidariti antarabangsa terhadap golongan terkesan serta kelompok mustadh’afin melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan.

Antara pengisian utama program termasuk gotong-royong membersihkan kawasan Masjid Tgk Chiek Pante Geulima, penyampaian sumbangan kepada anak yatim, warga emas rentan serta bantuan kepada mahasiswa terjejas di UIN Ar-Raniry melalui Islamic Trust Fund (ITF). Turut berlangsung penyerahan mushaf Al-Quran sumbangan UNISSA kepada pihak universiti dan masyarakat setempat.

Program ini turut menjadi platform pertukaran ilmu, pengalaman dan budaya antara pensyarah serta mahasiswa dari tiga negara. Para peserta menyifatkan penglibatan dalam misi kemanusiaan ini sebagai pengalaman berharga dalam memahami realiti masyarakat pascabencana dan mengukuhkan semangat kesukarelawanan rentas sempadan.

Kerjasama strategik antara UIN Ar-Raniry, UnIPSAS dan UNISSA diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang melalui pelaksanaan program berimpak tinggi demi memperkukuh jaringan antarabangsa serta menyemai nilai kemanusiaan dalam kalangan warga kampus dan masyarakat global.

UnIPSAS Meterai MoU Bersama Universiti Siraj Al-Huda India

KUANTAN, 30 Januari 2026 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Siraj Al-Huda, India dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Senat, UnIPSAS hari ini.

Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi UnIPSAS yang diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Hj. Zawavi bin Zainal Abidin, sekali gus mencerminkan komitmen kepimpinan universiti dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan dan jaringan akademik global.

Majlis ini turut disaksikan oleh delegasi berprofil tinggi daripada Rabitah al-Jami‘at al-Islamiyyah, yang diketuai oleh Ma‘ali al-Wazir al-Ustaz Dr. Sami al-Sharif, Setiausaha Agung Rabitah al-Jami‘at al-Islamiyyah.

Kerjasama ini merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk kolaborasi akademik dan penyelidikan dalam pengajian Islam, pertukaran pelajar dan staf akademik, penerbitan bersama, perkongsian kepakaran serta pembangunan modal insan.

Turut hadir ialah delegasi dari Universiti Siraj Al-Huda, India yang terdiri daripada Dr. Bashir ‘Abd al-Rahman al-Azhari (Pengarah Akademik), Dr. Muhammad al-Haddad (Penasihat Akademik Rabitah al-Jami‘at al-Islamiyyah) dan al-Ustaz Walid ‘Abd al-Mun‘im (Pengarah Perhubungan Luar Rabitah al-Jami‘at al-Islamiyyah).

Majlis ini mencerminkan aspirasi UnIPSAS untuk terus memperluas jaringan antarabangsa, memperkukuh kedudukan universiti di peringkat global serta membina ekosistem keilmuan Islam yang holistik dan lestari.

Kerjasama ini selaras dengan hasrat Lembaga Pengelola UnIPSAS untuk meningkatkan hubungan strategik dengan institusi pengajian tinggi luar negara secara berterusan demi manfaat bersama dan pembangunan pendidikan Islam berkualiti tinggi.

📸 Sekitar Majlis Menandatangani MoU antara UnIPSAS dan Universiti Siraj Al-Huda, India

ms_MYMalay