
KUANTAN, 18 JUN 2026 – Seramai 70 orang mahasiswa Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah menyertai Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 yang berlangsung di Perkarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang.
Program yang menghimpunkan para huffaz dari seluruh negeri Pahang ini bertujuan memperkukuh ukhuwah serta memperkasakan pembangunan modal insan berteraskan al-Quran. Para peserta turut mengikuti forum dan ceramah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama serta pemimpin negara.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, serta dihadiri oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.
Penyertaan mahasiswa UNIQSAAS mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UNIQSAAS turut menyokong penuh penglibatan mahasiswa dalam program pembangunan sahsiah dan pengukuhan ilmu yang dapat meningkatkan kecintaan terhadap al-Quran serta membentuk kepimpinan masa hadapan yang cemerlang.






