
PARLIMEN MALAYSIA, 21 Oktober 2026 – Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Yayasan Tahfiz Sarawak, bertempat di Bangunan Pentadbiran Parlimen Malaysia.
Delegasi UNIQSAAS diketuai oleh YH. Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawawi bin Zainal Abidin, Naib Canselor UNIQSAAS. Turut menyertai delegasi ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Norahida binti Mohamed, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi; Puan Nor Azah binti Abdul Jalil, Bendahari; serta YBrs. Dr. Siti Nora’aeshah binti Zakaria, Dekan Kulliyyah Al-Quran dan Al-Sunnah.
Kunjungan hormat ini menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh jaringan strategik antara UNIQSAAS dengan pihak berkepentingan, khususnya dalam usaha memperkasa pendidikan al-Quran dan pembangunan institusi tahfiz di Malaysia.
Selain itu, pertemuan ini mencerminkan komitmen UNIQSAAS untuk memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam bidang pendidikan Islam, pengajian al-Quran dan pembangunan generasi Qurani yang berilmu serta berakhlak mulia.
UNIQSAAS berharap kunjungan ini dapat membuka ruang kepada hubungan yang lebih erat dan peluang kerjasama strategik yang memberikan manfaat kepada institusi pendidikan Islam serta masyarakat pada masa hadapan.
Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS)
Bersama al-Quran Membina Generasi Qurani Bermakna.





