Profail Universiti

Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) merupakan sebuah inisiatif strategik yang sangat signifikan dalam menyokong teras Malaysia Madani yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Universiti ini lahir daripada gagasan murni Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta sokongan berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha membentuk sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang menjunjung Al-Quran sebagai teras utama pembangunan insan dan negara. Dengan pendekatan berasaskan nilai dan prinsip Al-Quran, Universiti Al-Quran mampu melahirkan modal insan berilmu dan berakhlak secara seimbang antara kekuatan intelektual dan spiritual. Malah, universiti ini juga menjadi wadah kepada pelaksanaan visi pendidikan Negeri Pahang untuk menjulang ilmu wahyu sebagai dasar utama pembangunan masyarakat yang lebih adil, penyayang dan progresif.


LATAR SEJARAH

Kewujudan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Kolej Islam Pahang (KIP) adalah merupakan titik tolak pertama ke arah pembangunan dan kemajuan pendidikan tinggi Islam di negeri ini. Sejarahnya bermula pada 27 Ogos 1996 apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang meluluskan idea penubuhannya. Buat permulaannya, UnIPSAS menampung keperluan saluran pengajian tinggi bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah menengah agama negeri untuk melanjutkan pelajaran mereka di institusi pengajian tinggi. Pengambilan kumpulan pelajar pertama seramai 67 orang telah dimulakan sebaik sahaja menerima keputusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Universiti yang cukup sinonim dengan KDYMM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al-Musta‟in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar ini telah dirasmikan oleh Baginda pada 16 November 2000 bersamaan 19 Syaaban 1421H. KDYMM Sultan Pahang menjadi simbol dan lambang kegemilangan Universiti ini di negeri Pahang.

Mulai April 1998, UnIPSAS berdaftar sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi swasta dan bernaung sepenuhnya di bawah anak syarikat kerajaan negeri, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sendirian Berhad (SPIPSB). UnIPSAS yang menawarkan peluang pengajian peringkat diploma ini telah mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1996. Ini bermakna Kerajaan Negeri memberikan komitmen yang padu terhadap UnIPSAS terutama menerusi geran peruntukan tahunan. Universiti ini dibina di atas tanah seluas kira-kira 41 ekar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM41 juta meliputi bangunan pentadbiran, bangunan akademik, perpustakaan, blok-blok asrama pelajar, kafeteria, dewan besar, kompleks sukan, rumah kediaman Presiden dan blok-blok kediaman pensyarah/staf dan telah siap dibina pada Februari 2000. Seluas 503 ekar tanah juga telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Pahang bagi menampung perkembangan pembangunan dan sebagai aset kepada UnIPSAS. Manakala terdapat sebuah masjid bernilai hampir RM10 juta yang turut menjadi mercu tanda kebanggaan Universiti ini.

Tahun 2013 merupakan tahun ke tujuh belas penubuhan UnIPSAS, dan ini menandakan sudah lebih dari sedekad Universiti ini telah memacu kecemerlangan pendidikan tinggi Islam di negeri Pahang dan mengeluarkan sumber modal insan yang berkualiti dan bertepatan dengan aspirasi pasaran kerjaya.

Sebagai langkah awal, UnIPSAS telah menyahut saranan Ahli Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengurus Sistem Pendidikan Islam Pahang agar membuat kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Kerajaan Negeri telah berkenan melantik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang sebagai Canselor Pertama UnIPSAS dan Majlis Istiadat Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selaku Canselor Pertama UnIPSAS telah diadakan pada 25 Februari 2016. Manakala Menteri Besar Pahang dilantik sebagai Pro-Canselor UnIPSAS.

Sejarah Universiti

FALSAFAH

Penjanaan Ilmu Berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dalam Memartabatkan Sistem Nilai Keilmuan bagi Kecemerlangan Peradaban Insan.

VISI

Menjadi Universiti Terunggul dalam Memartabatkan al-Quran dan al-Sunnah.

MISI

Melahirkan Ilmuwan dan Profesional Muslim yang Mengintegrasikan Ilmu Naqli dan Aqli ke Arah Kegemilangan Peradaban Insan Madani.

MOTO

Al-Quran Memacu Kecemerlangan Ilmu dan Sahsiah.

OBJEKTIF UNIQSAAS

Menyediakan program pengajian berteraskan al-Qwan dan al-Sunnah yang berkualiti dan relevan dengan keperluan ummah.
Meningkatkan profesionalisme dan kualiti tenaga akademik melalui program pembangunan berteraskan nilai-nilai al-Quran, kepakaran ilmiah dan amalan pendidikan lestari bagi memperkukuh kecemerlangan institusi.
Menjadikan pusat penyelidikan dan rujukan unggul dalam bidang al-Quran yang memacu pengembangan ilmu, pembinaan pemikiran dan peradaban ummah.
Menyediakan prasarana pendidikan yang kondusif, berteraskan teknologi semasa dan nilai Islamik untuk menyokong keberkesanan pembelajaran pelbagai bidang secara integratif.
Membina keupayaan intelektual pelajar untuk menggarap hikmah al-Quran secara inovatif, selaras dengan konsep pemikir Qurani (Mufakkir Qurani).
📍 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS)
(Dahulu dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS))

km 8, Jalan Gambang, 25150 Kuantan, Pahang.

📞 Phone: +609 553 5555
📧 Email: pro@uniqsaas.edu.my
Copyright © 2026 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang. All Rights Reserved.
crosschevron-down
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok