
Kuantan, 03 Julai 2026 – Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) terus memperkukuh komitmen terhadap pembudayaan integriti dan tadbir urus yang baik menerusi penganjuran Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Anggota Kerja UNIQSAAS yang berlangsung di Auditorium Tuanku Canselor, UNIQSAAS.
Majlis dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Ketua Penolong Kanan Penguasa, Nor Hasni Maria binti Ab Rahim daripada Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang. Taklimat tersebut memberi pendedahan kepada warga universiti mengenai kepentingan membudayakan integriti, memahami implikasi rasuah serta tanggungjawab setiap individu dalam mencegah salah laku dan penyalahgunaan kuasa.
Majlis diteruskan dengan ucapan Naib Canselor UNIQSAAS, yang menegaskan bahawa integriti merupakan asas utama dalam melahirkan sebuah institusi pendidikan tinggi yang cemerlang, berakauntabiliti dan diyakini masyarakat. Beliau turut menyeru seluruh warga universiti agar sentiasa mengamalkan nilai amanah, telus dan bertanggungjawab dalam setiap aspek pelaksanaan tugas.
Kemuncak program menyaksikan Sesi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh Naib Canselor UNIQSAAS bersama seluruh anggota kerja universiti. Lafaz ikrar tersebut telah disaksikan oleh Pengarah SPRM Pahang, Tuan Mohd Shukor bin Mahmud, sebagai simbol komitmen bersama dalam menolak sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Penganjuran Majlis Ikrar Bebas Rasuah ini mencerminkan kesungguhan UNIQSAAS dalam memperkukuh budaya integriti di samping menyokong aspirasi negara ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang bersih, cekap dan beramanah.
Majlis berakhir dengan harapan agar ikrar yang dilafazkan menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kerja yang lebih berintegriti serta memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap UNIQSAAS sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang mengutamakan nilai amanah dan tadbir urus terbaik.
Disediakan oleh:
Department of Corporate Relations
Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS)









