
KEPULAUAN RIAU, 11 April 2026 – Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kepulauan Riau, Indonesia dari 9 hingga 11 April 2026 sebagai usaha memperkukuh jaringan akademik, memperluas hubungan strategik serantau serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang pendidikan, warisan keilmuan Islam dan peradaban Melayu.
Kunjungan ini turut membawa signifikan tersendiri apabila dilaksanakan dalam fasa awal penjenamaan semula universiti susulan pengisytiharan rasmi nama Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) pada 6 Mac 2026. Selaras dengan identiti baharu universiti, UNIQSAAS membawa aspirasi Hudan Linnas, iaitu menjadikan al-Quran sebagai teras utama dalam semua bidang ilmu dan pembangunan insan, merangkumi aspek akidah, kepimpinan serta pembangunan tamadun. Lawatan ini sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam memperkenalkan identiti baharu tersebut di peringkat serantau.
Delegasi UNIQSAAS telah diketuai oleh Naib Canselor UNIQSAAS, YH. Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Turut menganggotai delegasi ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmat Effat bin Mokhtar, Pendaftar, Haji Mohd Faizul bin Abdul Hadi Nor, serta wakil Jabatan Perhubungan Korporat, En. Mohd Safuan bin Arifin, En. Mazlan Bin Sulaiman.
Pada hari pertama, delegasi UNIQSAAS telah mengadakan kunjungan ke Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Sultan Abdurrahman Kepulauan Riau (STAIN Kepri) dan disambut oleh Ketua STAIN Kepri, Dr. H. Muhammad Faisal. Kunjungan tersebut memperkukuh kolaborasi strategik antara UNIQSAAS dan STAIN Kepri yang dijangka membuka ruang kerjasama lebih tersusun dan berfokus, khususnya dalam bidang akademik, pertukaran kepakaran, mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama serta penganjuran program ilmiah di peringkat antarabangsa.
Delegasi UNIQSAAS seterusnya telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Gabenor Kepulauan Riau dan disambut oleh Asisten Administrasi Umum (Asisten III) Setiausaha Daerah Provinsi Kepulauan Riau, Ibu Misni, S.KM., M.Si. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Kepala Dinas Kebudayaan Provinsi Kepulauan Riau, Herry Andrianto, S.E., M.M., serta Kepala Biro Administrasi Pimpinan, Dody Sepka Noviandy, S.STP., M.M. Sesi tersebut memperlihatkan keterbukaan dan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dengan kepimpinan wilayah, di samping membina persefahaman yang lebih erat ke arah pelaksanaan kerjasama yang berimpak pada masa hadapan.
Pada sebelah malam hari pertama, delegasi UNIQSAAS sempat bertemu dengan sejarawan Kepulauan Riau dalam satu sesi makan malam yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan bermakna. Pertemuan tersebut menjadi ruang perbincangan ilmiah yang bernilai, khususnya berkaitan warisan intelektual, tradisi keilmuan serta sumbangan ilmu dalam pembinaan tamadun serantau.
Dalam rangka lawatan tersebut, delegasi UNIQSAAS turut berpeluang menelusuri khazanah warisan intelektual di Pulau Penyengat, yang terkenal sebagai pusat perkembangan kebudayaan Melayu. Pengalaman ini memberi nilai tambah yang besar kepada delegasi universiti dalam memahami lebih dekat warisan manuskrip peninggalan Kerajaan Riau-Lingga yang masih terpelihara dengan baik sehingga kini. Delegasi juga berpeluang menyaksikan mushaf tulisan tangan yang berusia lebih 100 tahun, di samping meninjau khazanah ilmu yang tidak ternilai.
Dalam pengisian hari kedua, delegasi UNIQSAAS telah mengadakan lawatan ke Balai Maklumat Yayasan Kebudayaan Inderasakti dan disambut oleh ketuanya, YM. Raja Malik Hafrizal Bin YM. Raja Hamzah. Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengenalan lebih dekat terhadap khazanah intelektual dan kebudayaan Melayu-Islam di Kepulauan Riau, malah turut memperkukuh jaringan kolaborasi strategik dalam aspek pengkajian, dokumentasi, pemeliharaan dan pendigitalan manuskrip serta karya ulama Nusantara.
Dalam sesi berkenaan, Yayasan Kebudayaan Inderasakti turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada Naib Canselor UNIQSAAS, YH. Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen universiti dalam memperkasa usaha pengkajian, pendokumentasian dan pemuliharaan manuskrip Jawi serta warisan intelektual Melayu-Islam.
Antara pengisian utama lawatan tersebut ialah pendedahan kepada khazanah manuskrip Jawi, atau lebih dikenali di Indonesia sebagai tulisan Arab-Melayu (ArMel), yang amat bernilai sebagai warisan ilmu dan tamadun Melayu-Islam. Manuskrip-manuskrip ini merakamkan tradisi keilmuan dan pemikiran cendekiawan Nusantara, termasuk karya agung seperti Gurindam Dua Belas oleh Raja Ali Haji bin Raja Ahmad, yang mencerminkan kekayaan adab dan bahasa. Pendedahan ini amat bermakna dalam memperkukuh kesedaran tentang pentingnya usaha pemeliharaan serta pemerkasaan khazanah Jawi sebagai sebahagian daripada warisan intelektual serumpun.
Sebagai sebahagian daripada pengukuhan hubungan dua hala, delegasi UNIQSAAS turut diraikan dalam majlis makan malam bersama Gabenor Kepulauan Riau, H. Ansar Ahmad. Dalam pertemuan tersebut, Gabenor H. Ansar menyambut baik gagasan kerjasama yang dikemukakan dan menegaskan bahawa kolaborasi rentas negara dalam bidang kebudayaan dan pendidikan merupakan langkah strategik bagi memastikan warisan Melayu terus lestari, relevan dan diperkasakan untuk generasi masa hadapan.
Lawatan ini turut membuka ruang yang lebih luas kepada agenda pengantarabangsaan UNIQSAAS, termasuk potensi memperkenalkan universiti kepada masyarakat serantau dan mengalu-alukan pelajar dari Kepulauan Riau untuk melanjutkan pengajian di UNIQSAAS. Pendekatan ini selaras dengan hasrat universiti untuk terus memperkukuh jaringan pendidikan tinggi Islam merentas sempadan serta memperluas peranan UNIQSAAS sebagai pusat rujukan ilmu berteraskan Al-Quran di rantau ini.
Secara keseluruhannya, kunjungan hormat ini menjadi manifestasi kesungguhan UNIQSAAS dalam memperluas jaringan antarabangsa dan memperkukuh peranannya sebagai institusi yang membawa aspirasi Hudan Linnas. Lawatan ini juga selari dengan aspirasi penjenamaan baharu universiti untuk menampilkan UNIQSAAS sebagai institusi yang unggul, progresif dan berwibawa dalam memacu agenda pendidikan Islam, pengantarabangsaan ilmu serta pelestarian warisan peradaban Melayu di peringkat nasional dan serantau.














