
KUANTAN, 06 Mac 2026 — Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) kini secara rasmi dikenali sebagai Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UnIQSAAS).
Pengisytiharan penjenamaan semula ini diperkenankan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sekali gus menjadikannya universiti Al-Quran pertama di Malaysia.
Pengumuman bersejarah tersebut berlangsung pada 6 Mac 2026 di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, bersempena malam Nuzul al-Quran, tarikh istimewa bagi umat Islam memperingati peristiwa penurunan ayat pertama Al-Quran.
Pada majlis ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan menerima warkah perisytiharan nama UnIPSAS kepada Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang daripada Menteri Pengajian Tinggi, YB. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry dan Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyerahkan warkah berkenaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Pemilihan tarikh tersebut amat signifikan kerana selari dengan aspirasi universiti untuk menjadikan Al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu dan pembinaan tamadun. Lebih bermakna lagi, pengumuman ini turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun perkahwinan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Penjenamaan semula ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan institusi ini sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berteraskan Al-Quran dan pendidikan Islam.


















