
PUTRAJAYA, 19 NOVEMBER 2026 – Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh pembangunan pendidikan, penyelidikan dan kepakaran dalam bidang al-Quran serta pengajian Islam.
Pertemuan tersebut menjadi platform bagi kedua-dua pihak meneroka ruang kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran akademik dan pemerkasaan institusi pendidikan Islam.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah cadangan permohonan penempatan pensyarah mab‘uth (utusan khas) yang mempunyai kepakaran dalam bidang al-Quran dan Qiraat bagi tahun 2027. Inisiatif ini dilihat berpotensi memperkukuh pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kepakaran akademik di UNIQSAAS.
Selain itu, UNIQSAAS turut mengemukakan cadangan pemberian bantuan Biasiswa Sijil Pembiayaan Huffaz kepada mahasiswa dan mahasiswi UNIQSAAS, sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di bawah Kerajaan Negeri Pahang, yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam negara.
Dalam aspek pembangunan akademik, UNIQSAAS turut mencadangkan kerjasama strategik bersama Darul Quran JAKIM melalui pembangunan program pengajian al-Quran, perkongsian kepakaran akademik, penyelarasan kurikulum serta pewujudan laluan kesinambungan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Kerjasama dalam bidang penyelidikan dan kajian ilmiah turut menjadi antara agenda perbincangan. Kedua-dua institusi berpotensi meneroka pelaksanaan penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, pembangunan modul serta perkongsian kepakaran pensyarah UNIQSAAS dalam bidang al-Quran, termasuk pengajian dan pentafsiran al-Quran.
Selain itu, kedua-dua pihak turut berpeluang meneroka penganjuran program-program bercorak Islam dan akademik seperti seminar, kolokium, Mahrajan Qurani serta pelbagai program ilmiah yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan institusi pendidikan Islam.
Kunjungan hormat ini diharapkan menjadi langkah awal ke arah hubungan kerjasama yang lebih erat antara UNIQSAAS dan JAKIM, khususnya dalam memperkasa pendidikan al-Quran, melahirkan generasi ilmuwan Qurani serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam di Malaysia.




