
KUANTAN, 06 Mei 2026 - Majlis Menandatangani Letter of Intent (LoI) antara Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang dan Universiti Al-Wasatiyyah Tarim Yaman telah berlangsung dengan jayanya di Wisma Sri Pahang.
LoI ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan akademik serta kerjasama pendidikan Islam antara kedua-dua institusi. Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik pada masa hadapan.
Antara fokus utama LoI tersebut ialah membuka laluan kepada pelajar Malaysia dan juga Yaman untuk menyambung pengajian di UNIQSAAS, melaksanakan program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, serta memanfaatkan kepakaran Yaman dalam bidang pengajian agama dan Al-Quran. Usaha ini sekali gus dapat memperkasakan peranan UNIQSAAS sebagai institusi pendidikan Islam yang unggul.
Kerjasama ini diyakini mampu memberi impak positif kepada pembangunan modal insan, khususnya dalam melahirkan generasi ilmuwan Islam yang berilmu, berakhlak serta berupaya menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.
Diharapkan hubungan yang terjalin ini akan terus diperkukuh demi memartabatkan pendidikan Islam di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadikan Negeri Pahang sebagai hab pendidikan Islam yang dihormati dan disegani.




