UNIQSAAS Raikan Kehadiran Pelajar Baharu, Perkukuh Pendidikan Berteraskan Al-Quran

KUANTAN, 13 Jun 2026 – Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) menerima kehadiran pelajar baharu bagi Ambilan Jun 2026 dalam suasana meriah dan penuh keterujaan di Dewan Sultan Ahmad Shah (DSAS), hari ini.

Sesi pendaftaran yang bermula seawal jam 8.30 pagi menyaksikan kehadiran ramai pelajar bersama ibu bapa dan penjaga yang membanjiri DSAS bagi melengkapkan proses pendaftaran serta mendapatkan maklumat berkaitan pengajian dan kemudahan yang disediakan oleh universiti.

Pelbagai kaunter perkhidmatan disediakan bagi memastikan urusan pendaftaran berjalan lancar, termasuk kaunter semakan dokumen, kewangan, penginapan, bantuan pendidikan serta khidmat nasihat akademik. Kehadiran warga kerja UNIQSAAS yang sentiasa bersedia membantu turut melancarkan proses pendaftaran pelajar baharu.

Pada jam 10.00 pagi, satu sesi taklimat khas bersama Naib Canselor UNIQSAAS telah diadakan di Auditorium Universiti. Sesi tersebut memberi peluang kepada ibu bapa dan pelajar untuk mendapatkan penerangan mengenai hala tuju universiti, sistem pembelajaran, pembangunan sahsiah pelajar serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi melahirkan graduan yang berilmu, berketerampilan dan berdaya saing.

Turut berlangsung ialah sesi soal jawab yang memberikan ruang kepada ibu bapa untuk mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada pihak pengurusan universiti. Pelbagai isu berkaitan akademik, kebajikan pelajar, kemudahan kampus serta peluang kerjaya graduan telah dibincangkan dalam suasana yang terbuka dan harmoni.

Hari Pendaftaran Pelajar Baharu ini bukan sahaja menjadi titik permulaan perjalanan akademik para pelajar, malah mencerminkan komitmen UNIQSAAS dalam menyediakan pengalaman pendidikan yang holistik berteraskan ilmu, nilai Islam dan kecemerlangan akademik.

UNIQSAAS mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu dan mendoakan agar mereka terus cemerlang dalam menuntut ilmu serta menjadi generasi pewaris ummah yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Bagi individu yang masih belum membuat permohonan, peluang untuk menyambung pengajian di UNIQSAAS masih terbuka. Pendaftaran secara walk-in bagi Ambilan Jun 2026 masih diterima sehingga 19 Julai 2026 tertakluk kepada kekosongan program. Orang ramai yang berminat boleh hadir terus ke kampus atau menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kemasukan, bantuan pendidikan serta program-program pengajian yang ditawarkan.

📍 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS)
[ Dahulu dikenali Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ]

📞 Phone: +609 553 5555
📧 Email: pro@uniqsaas.edu.my
Copyright © 2026 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang. All Rights Reserved.
crosschevron-downchevron-leftchevron-right
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok