
KUANTAN, 30 Mei 2026 – Program Ibadah Korban 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi anjuran Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (TMTHIAS), Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh semangat gotong-royong, kesyukuran dan penghayatan nilai pengorbanan sempena Aidiladha hari ini.
Pada tahun ini, sebanyak 13 ekor haiwan korban yang terdiri daripada 3 ekor lembu dan 10 ekor kerbau telah disempurnakan dengan anggaran hasil mencecah 1.5 tan daging korban. Daripada jumlah tersebut, seekor lembu merupakan sumbangan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, manakala seekor kerbau merupakan sumbangan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) sebagai tanda sokongan terhadap usaha menghidupkan syiar Islam dan amalan kebajikan dalam masyarakat.
Yang Hormat Dato’ Naib Canselor UNIQSAAS dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini, khususnya Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Yayasan KOSMA, Maybank Islamic, Gading Group dan Bank Rakyat atas sumbangan serta kerjasama yang diberikan.
Beliau turut menegaskan bahawa ibadah korban bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, malah menjadi medium penting dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat. Dalam majlis yang sama, Yayasan KOSMA turut menyampaikan sumbangan berupa sebuah mesin pemotong tulang kepada pihak Masjid TMTHIAS sebagai tanda sokongan terhadap kelancaran operasi pengurusan ibadah korban.
Kesemua daging korban yang telah siap diproses dan dibungkus telah diagihkan kepada peserta korban, anggota kerja UNIQSAAS, golongan asnaf serta komuniti yang hadir, agar manfaat ibadah korban dapat dirasai dan dikongsi bersama oleh mereka yang berhak serta memerlukan.
Turut hadir memeriahkan program ialah YB. Dato’ Ahmad Irshadi bin Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang, yang turut bersama-sama membantu melaksanakan kerja-kerja ibadah korban di lapangan serta menyantuni para peserta dan sukarelawan yang terlibat.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan Masjid TMTHIAS dan UNIQSAAS dalam mengimarahkan syiar Islam, memperkukuhkan ukhuwah serta memupuk nilai pengorbanan dan kebajikan demi kesejahteraan ummah.








