
KUANTAN, 30 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) yang berlangsung penuh istiadat di Auditorium Tuanku Canselor, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda diiringi oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketibaan Seri Paduka Baginda dijunjung sembah oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Dr. Haji Ahmad Nazri Mohd Hassan, Pengerusi Sistem Pendidikan Pahang, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, kepimpinan universiti serta pengurusan tertinggi sebelum Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah takzim dan seterusnya berangkat memasuki dewan bagi menyempurnakan istiadat pemasyhuran.
Dalam majlis tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menyampaikan Titah Diraja yang menzahirkan aspirasi Baginda terhadap pembangunan pendidikan tinggi Islam berteraskan al-Quran sebagai asas pembentukan modal insan yang berilmu, berintegriti serta mampu menyumbang kepada kemajuan ummah, negeri dan negara. Seusai titah, Seri Paduka Baginda berkenan memasyhurkan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS), sekali gus menandakan bermulanya lembaran baharu dalam sejarah institusi pendidikan tinggi milik Kerajaan Negeri Pahang.
Majlis turut menyaksikan Istiadat Pelantikan Canselor dan Pro-Canselor UNIQSAAS. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Canselor UNIQSAAS, manakala Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang serta Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Pro-Canselor UNIQSAAS.
Istiadat bersejarah itu mencerminkan komitmen berterusan Institusi Diraja Pahang bersama Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kedudukan UNIQSAAS sebagai sebuah universiti yang menjadikan al-Quran sebagai teras kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, wakil kementerian dan agensi kerajaan, ketua-ketua jabatan, naib-naib canselor institusi pengajian tinggi awam dan swasta, rakan strategik universiti, alumni serta tetamu kehormat yang bersama-sama menjadi saksi kepada detik bersejarah tersebut.
Selepas majlis pemasyhuran selesai, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bersama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Pahang berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja yang berlangsung di Dewan Utama UNIQSAAS bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, sebagai tanda menjunjung kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda mencemar duli ke universiti ini.
Majlis berakhir dalam suasana penuh istiadat dan kesyukuran, sekali gus membuka lembaran baharu kepada Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) untuk terus mengorak langkah sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang unggul dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi agama, bangsa dan negara.
“Membina Ummah Berilmu.”





























