
KULIM, 9 Ogos 2026 – Perjuangan kontinjen Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) di MASISWA Networking Games 2026 berakhir dengan catatan membanggakan apabila membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat gangsa menerusi sukan Petanque.
Pungutan pingat UNIQSAAS bermula petang semalam apabila Mohd Nor Hafizan bin Abdul Hamit dan Zulkipli bin Mohamed berjaya meraih pingat gangsa menerusi kategori Beregu Lelaki.
Pada hari terakhir kejohanan hari ini, gandingan Trio Nur Anis Alawiah Binti Norazmei, Shahirul Daniel Bin Shaifulhisham dan Sabri bin Mat Junoh @ Awang Noh meneruskan momentum dengan aksi cemerlang apabila berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, UniKL Kulim, sekali gus muncul juara dan menghadiahkan pingat emas kepada UNIQSAAS.
Kejayaan Petanque melengkapkan perjuangan kontinjen UNIQSAAS yang turut mengambil bahagian dalam acara futsal, bola jaring, tenpin boling dan catur. Meskipun tidak semua perjuangan diterjemahkan dalam bentuk pingat, setiap atlet telah memberikan komitmen terbaik serta membawa nama UNIQSAAS dengan penuh semangat dalam acara masing-masing.
Lebih membanggakan, pencapaian keseluruhan kontinjen turut meletakkan UNIQSAAS dalam kelompok 10 IPTS terbaik Malaysia pada edisi kali ini.
Pendaftar UNIQSAAS merangkap Chef de Mission (CDM), Hj. Faizul bin Abdul Hadi Nor berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen dan semangat kebersamaan seluruh kontinjen.
“Alhamdulillah, pencapaian ini amat membanggakan. Terima kasih kepada seluruh atlet yang telah memberikan yang terbaik dan membawa nama UNIQSAAS dengan penuh semangat sepanjang kejohanan,” katanya.
Penyertaan kali ini turut membawa makna tersendiri apabila kontinjen bersama-sama menggalas nama dan identiti baharu UNIQSAAS di pentas sukan IPTS. Pengalaman serta pencapaian yang diperoleh akan menjadi asas untuk memperkukuh persediaan dan pembangunan sukan UNIQSAAS dalam menghadapi kejohanan akan datang.
Majlis penutup MASISWA Networking Games 2026 telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Zalizah Awang Long, Presiden Majlis Sukan IPTS Malaysia. Kejohanan kali ini menghimpunkan lebih 300 atlet dalam kalangan warga IPTS dari seluruh negara yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan.
UNIQSAAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh atlet, pengurus pasukan serta warga universiti atas komitmen, sokongan dan doa sepanjang kejohanan berlangsung.
Tahniah Kontinjen UNIQSAAS! Terus melangkah dan terus membawa nama UNIQSAAS. ![]()
![]()















