Lebih 1000 Pencinta al-Quran Berhimpun di Pahang dalam Tadarus & Khatam Perdana

15 Ogos 2026, KUANTAN – Lebih 1000 pencinta al-Quran dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia berhimpun di Pahang bagi menjayakan Program Tadarus & Khatam al-Quran Perdana Negeri Pahang yang berlangsung di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS), hari ini.

Pahang menjadi tuan rumah kepada program yang menghimpunkan komuniti pencinta al-Quran dari pelbagai negeri, sekali gus mewujudkan suasana penuh ukhuwah, kebersamaan dan kecintaan terhadap al-Quran.

Program anjuran Pertubuhan Sahabat Al-Quran Negeri Pahang dengan kerjasama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, UNIQSAAS itu diisi dengan pengisian tadabbur, tadarus serta khatam al-Quran secara berjemaah.

Pengerusi Pertubuhan Sahabat Al-Quran Negeri Pahang, Haji Ahmad Kamal bin Misran, dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada para peserta serta semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan penganjuran program berkenaan.

Majlis kemudiannya dirasmikan oleh YH. Dato’ Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MUIP.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan tahniah kepada Pertubuhan Sahabat Al-Quran Negeri Pahang atas kejayaan menganjurkan program berkenaan dengan baik serta berjaya menghimpunkan lebih 800 pencinta al-Quran dalam satu pertemuan.

“Tahniah kepada Sahabat Al-Quran Negeri Pahang kerana berjaya menganjurkan program ini dengan baik,” katanya.

Turut hadir Naib Canselor UNIQSAAS, Prof. Dato’ Dr. Zawavi bin Zainal Abidin, yang turut mengambil kesempatan mengalu-alukan anak-anak para peserta serta orang ramai yang berhasrat untuk meneruskan pengajian agar menjadikan UNIQSAAS sebagai salah satu pilihan pendidikan.

Beliau memaklumkan bahawa UNIQSAAS menawarkan pelbagai program pengajian bermula daripada peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana sehingga Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang.

Program yang bermula pada sebelah pagi itu didahului dengan pengisian tadabbur al-Quran oleh YBrs. Dr. Siti Nora’aeshah binti Zakaria, Dekan Kulliyyah Pengajian Quran dan Sunnah, UNIQSAAS, sebelum diteruskan dengan tadarus dan khatam al-Quran.

Penganjuran program ini bukan sahaja menyemarakkan pembudayaan al-Quran dalam masyarakat, malah memperkukuh ukhuwah dalam kalangan komuniti pencinta al-Quran, dengan Pahang menjadi medan pertemuan yang menyatukan peserta dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia atas kecintaan dan penghayatan terhadap al-Quran.

📍 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS)
[ Dahulu dikenali Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ]

📞 Phone: +609 553 5555
📧 Email: pro@uniqsaas.edu.my
Copyright © 2026 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang. All Rights Reserved.
crosschevron-downchevron-leftchevron-right
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok