Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat UNIQSAAS 1448H Semarakkan Penghayatan Hijrah dan Penyatuan Warga Kampus

KUANTAN, 26 Jun 2026 – Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah menganjurkan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Universiti 1448H dalam suasana penuh harmoni dan penghayatan, melibatkan penyertaan warga universiti serta pelajar dari pelbagai peringkat.

Program dimulakan seawal pagi dengan perarakan Ma’al Hijrah yang disertai oleh murid-murid Tadika Tahfiz, para pelajar UNIQSAAS, kakitangan universiti serta barisan pengurusan tertinggi universiti. Perarakan yang berlangsung dengan penuh semangat itu melambangkan kesatuan dan kebersamaan seluruh warga UNIQSAAS dalam menghayati makna hijrah sebagai satu titik perubahan ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Usai perarakan, para peserta bersama-sama menunaikan Solat Dhuha secara berjemaah sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan daripada Allah SWT sebelum meneruskan pengisian utama program.

Majlis diteruskan dengan Ceramah Khas Ma’al Hijrah yang disampaikan oleh Maulana Juhari bin Muhammad Ali Al-Jenderaqi. Dalam ceramah tersebut, beliau mengupas hikmah peristiwa hijrah Rasulullah SAW serta mengajak seluruh warga UNIQSAAS menjadikan semangat hijrah sebagai inspirasi untuk memperkukuh keimanan, memperbaiki akhlak dan meningkatkan kecemerlangan dalam kehidupan serta pekerjaan.

Bersempena tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, program ini bukan sahaja menjadi wadah memperingati peristiwa agung dalam sejarah Islam, malah turut menyemai nilai perpaduan, ukhuwah dan kecintaan terhadap syiar Islam dalam kalangan warga kampus.

Majlis diakhiri dengan penyampaian saguhati dan hadiah kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penyertaan mereka dalam menjayakan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat UNIQSAAS 1448H.

Semoga sambutan ini terus menjadi platform memperkukuh ukhuwwah, menyemarakkan syiar Islam serta membentuk warga UNIQSAAS yang berilmu, berakhlak dan beriltizam dalam merealisasikan aspirasi universiti sebagai Universiti Al-Quran pertama di Malaysia.

📍 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS)
[ Dahulu dikenali Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ]

📞 Phone: +609 553 5555
📧 Email: pro@uniqsaas.edu.my
Copyright © 2026 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang. All Rights Reserved.
crosschevron-downchevron-leftchevron-right
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok