FDK UIN Ar-Raniry, UnIPSAS & UNISSA Sukses Laksanakan PKM Kolaborasi Internasional

ACEH INDONESIA, 16 Februari 2026 – Kolaborasi antarabangsa melibatkan Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berjaya dilaksanakan menerusi Program Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) Tematik Kebencanaan Kolaborasi Dosen dan Mahasiswa pada 9–15 Februari 2026 di Gampong Masjid Tuha, Meureudu, Pidie Jaya, Aceh.

Program kemanusiaan ini merupakan kerjasama tiga buah universiti dari tiga negara — Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam — bagi membantu masyarakat yang terjejas akibat bencana hidrometeorologi yang melanda Aceh pada penghujung November 2025. Misi ini menzahirkan kepedulian sosial dan solidariti antarabangsa terhadap golongan terkesan serta kelompok mustadh’afin melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan.

Antara pengisian utama program termasuk gotong-royong membersihkan kawasan Masjid Tgk Chiek Pante Geulima, penyampaian sumbangan kepada anak yatim, warga emas rentan serta bantuan kepada mahasiswa terjejas di UIN Ar-Raniry melalui Islamic Trust Fund (ITF). Turut berlangsung penyerahan mushaf Al-Quran sumbangan UNISSA kepada pihak universiti dan masyarakat setempat.

Program ini turut menjadi platform pertukaran ilmu, pengalaman dan budaya antara pensyarah serta mahasiswa dari tiga negara. Para peserta menyifatkan penglibatan dalam misi kemanusiaan ini sebagai pengalaman berharga dalam memahami realiti masyarakat pascabencana dan mengukuhkan semangat kesukarelawanan rentas sempadan.

Kerjasama strategik antara UIN Ar-Raniry, UnIPSAS dan UNISSA diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang melalui pelaksanaan program berimpak tinggi demi memperkukuh jaringan antarabangsa serta menyemai nilai kemanusiaan dalam kalangan warga kampus dan masyarakat global.

📍 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS)
[ Dahulu dikenali Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ]

📞 Phone: +609 553 5555
📧 Email: pro@uniqsaas.edu.my
Copyright © 2026 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang. All Rights Reserved.
crosschevron-downchevron-leftchevron-right
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok