PIRCU’26 Himpunkan Inovasi Dan Penyelidikan Dari Seluruh Negara

Kuantan, 7 Julai 2026 – Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS) hari ini membuka tirai Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta UNIQSAAS 2026 (PIRCU’26) yang berlangsung selama dua hari bermula 7 hingga 8 Julai 2026 di Dewan Sultan Ahmad Shah (SAS), UNIQSAAS.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Norahida binti Mohamed, yang menekankan kepentingan budaya penyelidikan, inovasi dan kreativiti sebagai pemangkin kepada pembangunan ilmu serta penyelesaian isu-isu semasa yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ummah.

Majlis seterusnya telah dirasmikan oleh Naib Canselor UNIQSAAS Professor Dato’ Dr Haji Zawavi Bin Zainal Abidin, yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, penyelidik, institusi pendidikan dan agensi yang mengambil bahagian dalam PIRCU’26. Beliau turut menegaskan bahawa pertandingan ini menjadi platform terbaik untuk mengetengahkan idea inovatif, memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional.

Selesai majlis perasmian, Naib Canselor turut mengadakan lawatan ke ruang pameran bagi meninjau hasil penyelidikan dan inovasi yang dipertandingkan. Lawatan tersebut memberi peluang kepada beliau untuk berinteraksi secara langsung dengan para peserta serta mendapatkan penerangan mengenai projek-projek inovasi yang dipamerkan.

PIRCU’26 dimeriahkan dengan penyertaan pelajar, penyelidik, pendidik dan agensi dari seluruh negara, sekali gus membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa ekosistem inovasi dan penyelidikan negara.

Selain pameran inovasi, program ini turut menyediakan ruang jualan usahawan dan peniaga setempat, yang menawarkan pelbagai produk makanan, minuman serta barangan tempatan. Inisiatif ini bukan sahaja memeriahkan suasana program malah memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan dan memasarkan produk mereka kepada para pengunjung.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga sekitar Kuantan dan Pahang dijemput hadir bagi memeriahkan Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta UNIQSAAS 2026 (PIRCU’26) yang masih berlangsung sehingga 8 Julai 2026 di Dewan Sultan Ahmad Shah (DSAS), UNIQSAAS.

Orang ramai berpeluang menyaksikan pelbagai hasil penyelidikan dan inovasi yang kreatif, berimpak tinggi serta berpotensi menyumbang kepada pembangunan masyarakat selaras dengan tema “Transformasi Ilmu Membina Ummah.”

Disediakan oleh:
Jabatan Perhubungan Korporat
Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS)

📍 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS)
[ Dahulu dikenali Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ]

📞 Phone: +609 553 5555
📧 Email: pro@uniqsaas.edu.my
Copyright © 2026 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang. All Rights Reserved.
crosschevron-downchevron-leftchevron-right
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok