Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille Negeri Pahang Dirasmikan, Perkasa Akses Pendidikan Al-Quran Golongan OKU Penglihatan

Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille Negeri Pahang Dirasmikan, Perkasa Akses Pendidikan Al-Quran Golongan OKU Penglihatan

KUANTAN, 8 Oktober 2026 – Satu lagi langkah signifikan dalam memperkasakan pendidikan al-Quran kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan direalisasikan menerusi Majlis Perasmian Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille Negeri Pahang yang berlangsung di Masjid Tepian Putra, Kuantan hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.

Turut mengiringi beliau ialah Lt. Kolonel Bersekutu (PA) Professor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS), bersama barisan pengurusan universiti, wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti OKU penglihatan dari seluruh Negeri Pahang.

Penubuhan Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille Negeri Pahang merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan akses pendidikan al-Quran yang inklusif dan menyeluruh dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kekurangan fizikal. Pusat ini berperanan sebagai platform pembelajaran dan pemerkasaan ilmu al-Quran khusus kepada individu cacat penglihatan melalui penggunaan sistem tulisan Braille yang tersusun dan berkesan.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penubuhan pusat tersebut serta menyifatkan usaha ini sebagai satu manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa kebajikan, pendidikan dan pembangunan insan secara inklusif.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan OKU berhak mendapat peluang yang sama untuk mendalami ilmu al-Quran serta membangunkan potensi diri melalui pendidikan yang berkualiti dan mudah diakses.

Sementara itu, Lt. Kolonel Bersekutu (PA) Professor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin berkata, UNIQSAAS sentiasa komited untuk memperluaskan agenda pendidikan al-Quran kepada masyarakat melalui pelbagai pendekatan yang bersifat inklusif, selaras dengan aspirasi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang berteraskan al-Quran dan wahyu.

Beliau berharap pusat pembelajaran ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan al-Quran Braille di Negeri Pahang serta menjadi rujukan utama dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga pengajar dan pelajar al-Quran Braille pada masa hadapan.

Majlis turut diserikan dengan sesi penerangan berkaitan program pendidikan al-Quran Braille, demonstrasi pembelajaran serta sesi interaksi bersama komuniti OKU penglihatan yang hadir.

Penubuhan pusat ini dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat dalam memperluaskan akses pendidikan al-Quran kepada golongan yang memerlukan.

📍 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS)
[ Dahulu dikenali Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ]

📞 Phone: +609 553 5555
📧 Email: pro@uniqsaas.edu.my
Copyright © 2026 Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang. All Rights Reserved.
crosschevron-downchevron-leftchevron-right
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok